14 Individu Rentas Negeri Dikompaun Di Kampung
- Details
- Nasional
- Hits: 579
PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenakan kompaun ke atas 14 individu yang berada di kampung kerana gagal untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 1 Syawal, semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sebelum ini pihaknya sudah menyatakan bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang mengingkari arahan yang telah dikeluarkan pihak berwajib.
"Tindakan serius akan diambil terhadap individu yang berada di kampung kerana melakukan rentas negeri tanpa kebenaran.
"Mereka ini dikesan melakukan rentas negeri pulang ke kampung masing-masing dan balik melepasi sekatan jalan raya (SJR) atau melalui jalan tikus, kita tetap akan cari," katanya pada sidang media harian di sini.
Menurutnya, PDRM telah mengeluarkan sebanyak 214 kompaun terhadap individu ketika melalui SJR rentas sempadan negeri.
"Sebanyak 162 SJR rentas sempadan negeri dilakukan oleh pihak polis dan 127,552 kenderaan diperiksa semalam.
"Polis turut mengarahkan 1,243 kenderaan untuk berpatah balik kerana didapati cuba untuk merentas negeri.
"Daripada jumlah tersebut, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 685 kes cuba rentas, diikuti Negeri Sembilan (133 kes) dan Pahang sebanyak 72 kes," jelasnya.