IPOH: Geopark Lembah Kinta telah diperakukan semula sebagai Geopark Kebangsaan bagi tempoh lima tahun, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Nolee Ashilin berkata perakuan itu dibuat pada 20 Jun lalu oleh Jawatankuasa Geopark Kebangsaan bagi sesi 2021-2025.

Beliau berkata bukan mudah untuk mendapat pengiktirafan tersebut dan antara cabaran utama ialah geopark itu terletak di dalam bandar raya Ipoh.

"Antara cabarannya ialah kita mempunyai banda raya dalam geopark itu sendiri. Kebanyakan geopark tidak ada bandar raya kecuali pekan kecil dan sebagainya.

"Itu merupakan salah satu keunikan Geopark Lembah Kinta, di mana kita mempunyai bandar raya.

"Tetapi itu bermaksud penbangunan perlu dirancang selari dengan usaha memastikan geopark yang telah kita iktiraf dan akan diiktiraf kemudian juga dipelihara dan dipulihara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Program Reskill dan Upskill Kursus Asas dan Lanjutan Jurupandu@Geoguide Geopark Lembah Kinta, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Cawangan Penyelarasan Operasi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Nizarul Ikram Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Tambahnya lagi, amat penting bagi mewujudkan pelan pengurusan yang lebih menyeluruh.

"Saya difahamkan oleh Perbadanan Taman Negeri bahawa mereka masih lagi dalam proses menghasilkan satu pelan pengurusan konservasi.

"Bagi memastikan Geopark Lembah Kinta ini akan dapat mengekalkan tapak sedia ada, tetapi dalam masa sama tidak mengekang aktiviti ekonomi yang dibenarkan," katanya lagi.