TANJUNG MALIM: Laluan Warisan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diwujudkan sejak tahun lalu di sini, boleh diibaratkan seperti kampus dalam muzium.

Ini kerana bangunan itu sendiri mempunyai nilai sejarah yang dapat diketengahkan kepada umum.

Bukan itu saja, inisiatif yang digerakkan oleh pihak universiti dan Muzium Pendidikan Nasional (MPN) UPSI, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah itu menjadikan ia satu-satunya laluan warisan seumpamanya di Malaysia.

Malah apa yang lebih menggembirakan apabila laluan itu boleh dikunjungi orang ramai tanpa dikenakan bayaran, di samping mereka boleh melihat suasana kampus tersebut.

Menurut Pengarah MPN UPSI, Profesor Dr. Tajul Shuhaizam Said, laluan warisan sejarah itu juga merupakan antara usaha untuk meuar-uarkan 23 lokasi yang sarat dengan maklumat berhubung pendudukan penjajah sehingga kepada peranan universiti itu sebagai tempat melahirkan pendidik.

Tajul yang juga Pengarah Institut Peradaban Melayu UPSI, berkata, menjengah 100 tahun sambutan penubuhannya, UPSI sudah melalui empat era yang menjadikannya utuh sehingga kini.

"Kebetulan tahun ini UPSI menyambut 100 tahun penubuhannya, sejak zaman Sultan Idris Training College (SITC) dan era seterusnya.

"Boleh dikatakan Kampus Sultan Abdul Jalil itu sarat dengan warisan berkaitan pendidikan dan nasionalisme.

"Kita rasa bertanggungjawab untuk menjaga tinggalan sejarah di situ, selain itu salah sebuah bangunan di sini pernah menjadi kediaman bagi Pendeta Za'ba.

"Terdapat kesan peninggalan tentera Jepun kerana mereka pernah jadikan bangunan di sini sebagai markas utama. Selain ada bekas tapak bagi hukuman pancung oleh tentera Jepun," katanya.

Beliau berkata waktu lawatan dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang dan masuk adalah percuma, kecuali bagi mereka yang memerlukan khidmat pemandu pelancong.

"Kalau ada kumpulan yang perlukan pemandu pelancong atau khidmat kami untuk terangkan lebih lanjut di 23 laluan sejarah itu, maka sedikit bayaran akan dikenakan sebab kita sediakan makan dan minum.

"Konsep bagi laluan itu ialah di setiap lokasi bersejarah dalam UPSI itu diletakkan papan tanda maklumat tentang kisah sejarah dan peristiwa yang pernah berlaku di situ.

"Pelawat juga boleh scan kod (quick response) QR yang disediakan di papan maklumat itu, untuk memudahkan mereka muat turun maklumat di telefon pintar masing-masing.

"Sambutan pengunjung begitu menggalakkan kerana selain itu, kita selitkan dengan pasar antik pada setiap Sabtu minggu keempat.

"Di situ kita himpunkan kira-kira 60 peniaga dari seluruh Malaysia untuk berniaga, jadi lebih meriah suasana,"katanya lagi.

23 laluan warisan itu ialah, Padang SITC, Pokok Tembusu, Rumah Za'ba, Surau An Nur, Bangunan Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim, Bangunan Tadah Utara, Bangunan Suluh Budiman, Bekas Tapak Hukuman Pancung Tentera Jepun, Dewan Makan SITC, Bangunan Kutub Khanah, Loceng Agung.

Bangunan Tadah Selatan, Dewan Senaman SITC,Dewan Rahman Talib, Arca Batu, Rumah Pengetua SITC, Rumah Pengetua Sekolah Datuk Abdul Razak, Rumah Pengetua MPSI.

Taman Astakona, Tiang Kesan Tembakan Komunis, Rumah Guru SITC, Tugu Perayaan Jubli Intan&Kompleks Baru MPSI serta Tugu Perayaan 70 Tahun SITC-MPSI-IPSI.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata, pihaknya dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain turut sama dijemput bagi memberi buah fikiran atau pendapat berhubung laluan tersebut.

"Saya boleh simpulkan yang konsep ini seperti kampus dalam muzium, menarik untuk dikunjungi dan dibuka kepada umum tanpa bayaran.

"Antara yang menarik di sini yang boleh saya kongsikan ialah bangunan Suluh Budiman, Rumah Za' ba, Tempat Hukuman Tentera Jepun dan Tiang Kesan Tembakan Komunis.

"Tahun lalu kami dijemput oleh pihak muzium untuk beri ulasan tentang laluan warisan itu, kami ada bagi maklum balas dan menyokong usaha itu selain beri cadangan penambahbaikan lain," katanya lagi.