IPOH - Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT) mengambil inisiatif baru memperkenalkan Black House sebagai pusat kegiatan seni setempat rakyat Perak.

Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin berkata, kewujudan Black House selaras dengan kepentingan semasa serta perubahan teknologi dunia digital masa kini .

“Krisis pandemik Covid-19 adalah tempoh bertenang yang menjuruskan kami memikirkan kaedah baru dalam menyampaikan karya seni kepada dunia luar.

“Di Black House kami menyediakan beberapa ruang untuk kegiatan seni seperti studio rakaman yang menampilkan elemen muzik dalam bentuk dokumentasi video dan seterusnya mengetengahkan bakat dari Perak. 

“Pelbagai genre seni akan disampaikan menerusi karya seni yang berkualiti tinggi dan artistik.

"Kesemua hasil seni akan dimuat naik ke media sosial seperti laman Facebook, Instagram, Youtube dan pelbagai lagi”, katanya sewaktu ditemubual di PORT baru-baru ini.

Beberapa ruang disediakan untuk kegiatan seni seperti studio rakaman, studio seni, dark room (fotografi) dan common room.

Terdapat juga ruang Portdistro iaitu sebuah kedai kecil yang turut menempatkan hasilan produk artis dan kolektif seni yang ditampilkan di dalam projek Silver Trails of Art, Research and Techniques (START).

Black House telah memulakan START iaitu sebuah projek siri dokumentasi video terbitan PORT dengan kerjasama Tourism Perak, Kraftangan Perak dan Digital Perak. 

Program kedua juga telah dilaksanakan di Black House iaitu Projek Panggung yang lebih mendedahkan bakat dan kumpulan muzik yang berpengalaman. 

“Untuk Projek Panggung, PORT menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negara Perak dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

"Kami mengetengahkan dua orang anak muda berbakat besar dalam bidang nyanyian iaitu A Rozainie Razali yang mempunyai suara mirip penyanyi 60-an terkenal iaitu Ahmad Jais dan Mohammad Yassin Mohd Daud juga mempunyai suara dan gaya seperti A Ramli”, katanya.