IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) fokus dalam melaksanakan projek tebatan banjir dan menaik taraf longkang bagi mengatasi masalah banjir kilat di sekitar bandar raya ini. 
 
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit sedang giat menjalankan projek infrastruktur terutamanya di parit dan longkang agar masalah banjir kilat tidak akan berulang pada masa hadapan. 
 
"Kita juga sedang menaik taraf infrastruktur digital yang melibatkan tiang-tiang seperti ada silap yang masuk atau terlebih. 
 
"Sepatutnya ia siap pada tahun ini, tetapi tergendala sebentar disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tetapi, kita akan terus fokus pada infrastruktur digital dan sistem saliran bagi memastikan masalah banjir kilat dapat diatasi," katanya pada sidang media ketika melawat perkembangan projek pembinaan Kinta River Walk di pesisir Sungai Kinta di Jalan Lim Bo Seng, hari ini. 
 
Sementara itu, Rumaizi berkata, kerja-kerja menaik taraf jalan sentiasa berterusan dari semasa ke semasa. 
 
"Kalau kita hendak buat basic infrastructure (infrastruktur asas) di seluruh Ipoh secara sekali gus, kita memerlukan RM3 bilion. 
 
"Oleh itu, kita buat secara berperingkat-peringkat (naik taraf infrastruktur) dan kini sudah masuk ke kawasan taman perumahan," ujarnya. 
 
Beliau berkata, banyak kekangan yang perlu dihadapi sepanjang PKP namun MBI tetap meneruskan projek bagi memastikan warga Ipoh dapat menikmati kemudahan infrastruktur dengan lebih selesa. 
 
Terdahulu, Rumaizi meluangkan masa meninjau perkembangan projek pembangunan MBI di Taman Pakatan Jaya, MDP Villa Bandar Baru Putra, Taman Meru 2B dan Jalan Lim Boh Seng pada
Khamis. 
 
Hadir sama, Pengarah Kejuruteraan MBI, A'zman Mohd Harun dan Pengurus Puncak Emas Sdn Bhd (PEISB), Ir Zainal Othman.