IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan meneruskan projek menaik taraf bandar raya ini dari semasa ke semasa dalam usaha merealisasikan Bandar Raya Ipoh sebagai bandar pelancongan menjelang 2025.
 
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, hari ini beliau berkesempatan melawat projek Kinta River Walk yang melibatkan tiga fasa dengan kos bernilai RM4 juta. 
 
Katanya, projek sepanjang 3.5 kilometer (km) di pesisir Sungai Kinta ini dijangka mampu merancakkan industri pelancongan di bandar raya Ipoh. 
 
"Sepatutnya, ia (Kinta River Walk) dilancarkan tahun ini tetapi ditangguhkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 
 
"Justeru, kita akan cuba melancarkannya pada tahun ini supaya ia menjadi salah satu mercu tanda baru di bandar raya Ipoh," katanya pada sidang media selepas meninjau perkembangan terkini di sekitar kawasan berkenaan pada Khamis. 
 
Terdahulu, Rumaizi meluangkan masa meninjau perkembangan projek pembangunan MBI di Taman Pakatan Jaya, MDP Villa Bandar Baru Putra, Taman Meru 2B dan Jalan Lim Boh Seng. Hadir sama, Pengarah Kejuruteraan MBI, A'zman Mohd Harun dan Pengurus Puncak Emas Sdn Bhd (PEISB), Zainal Othman. 
 
Menurutnya, setakat ini, tiga fasa pembangunan untuk projek tersebut telah dilaksanakan bermula Oktober tahun lalu dan fasa keempat dijangka akan dijalankan pada tahun hadapan. 
 
"Buat masa ini, dalam tempoh PKP, kita boleh fokus kerja dan saya mendoakan hujung bulan 12 atau bulan satu tahun depan kita akan dapat pelepasan dan masa itu kita boleh buka (Kinta River Walk). 
 
"Melalui pembukaan Kinta River Walk diharap kawasan Pekan Lama boleh 'hidup' dan perniagaan dapat dijalankan semula seperti biasa," jelasnya. 
 
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kawasan-kawasan pelancongan yang lain juga akan dinaik taraf antaranya termasuklah Pekan Lama, Gerbang Malam dan Medan Selera Dato Tahwil Azar (Taman Kanak-Kanak). 
 
Sehubungan itu, beliau berharap segala perancangan yang diatur dapat dilaksanakan serta mampu menarik lebih ramai pelancong ke bandar raya Ipoh sekali gus mewujudkan peluang perniagaan kepada penduduk tempatan.