IPOH, Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad mengingatkan masyarakat agar tidak panik dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah terhadap peningkatan ketara kes jangkitan Covid-19 di negeri ini.

Menurutnya, kenyataan Noor Hisham sewaktu melakukan lawatan kerja rasmi ke HRPB untuk meninjau kesiapsiagaan Jabatan Kesihatan Negeri Perak menangani pandemik Covid-19.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau bukanlah bertujuan mewujudkan kebimbangan terhadap masyarakat, tetapi sebagai peringatan supaya kita dapat bersama-sama menjaga prosedur operasi standard SOP yang telah tetapkan.

“Sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan, kerajaan negeri telah bersedia untuk membuka tiga lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) yang baharu.

“PKRC berkenaan ialah di Kompleks Rakan Muda di Taiping dengan kapasiti 780 katil, PKRC swasta Virgo Hotel di Manjung (200 katil) serta PKRC Institut Latihan Statistik Malaysia, di Sungkai (95 katil).

“Kita akan memastikan ketiga-tiga PKRC itu beroperasi berpandukan kepada keperluan semasa,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan program vaksinasi COVID-19 berbayar untuk syarikat swasta atau SilverVax di Hospital Ar-Ridzuan dekat sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini; Pengurus Besar Kumpulan Perubatan Ar-Ridzuan, Khairul Salleh Abdul Rani, serta Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.