IPOH - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mahu kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun diberikan vaksin sebaik diluluskan sebelum atau apabila sesi persekolahan dibuka.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pihaknya juga telah meminta kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan perkara tersebut.

Menurut beliau, sebelum ini, pihaknya pernah menggesa kerajaan agar vaksinasi pada pelajar sekolah itu dipertimbangkan sebagai langkah mengelak jangkitan Covid-19.

"Kalau kita lihat daripada apa yang diumumkan golongan kanak-kanak ini diberi (vaksin) secara berperingkat-peringkat setelah mendapat nasihat daripada pakar-pakar tertentu.

"Jawatankuasa Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan memutuskan untuk kanak-kanak ini dan kita harapkan  mereka diberi selepas warga dewasa selesai,," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas  meninjau pelaksanaan Projek Rintis Penyumberan Luar (ASD) di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar.

Sebelum ini, pelbagai pihak menggesa KPM agar mempertimbangkan untuk membuka sesi persekolahan secara berperingkat bermula bulan hadapan ekoran kes harian Covid-19 masih tinggi.

Mereka menyuarakan kembimbangan mengenai keselamatan pelajar memandangkan golongan berkenaan tidak menerima vaksin disamping kemungkinan kewujudan kluster sekolah.

Mengulas lanjut kata Rina, pemberian vaksin kepada kanak-kanak ini dapat mewujudkan komuniti selamat dalam kelompok pelajar sekolah.

"Kalau kita lihat kanak-kanak umur 12 hingga 17 tahun ini mereka yang bersekolah, ia sudah pasti ia merupakan kerjasama bersama dengan KPM.

"Jika mereka nak buka sekolah kita harapkan kanak-kanak ini dapat diberikan vaksin sebelum atau apabila sekolah dibuka nanti," katanya.