PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) akan melanjutkan tarikh permulaan sesi persekolahan di seluruh negara pada 3 Oktober berbanding cadangan asal iaitu 1 September ini.

Bagaimanapun tiada pembukaan sekolah bagi negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagi negeri-negeri Fasa 2 pula, sekolah dibenarkan buka bagi murid kelas peperiksaan sahaja.

Itu pun selepas penilaian risiko penularan wabak di negeri berkenaan.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin mengumumkan perkara tersebut menerusi rakaman video di laman sosial Facebook hari ini.

Menurut beliau, pembukaan sesi persekolahan itu dilewatkan sedikit selepas meneliti situasi perkembangan semasa Covid-19 di seluruh negara.

Pembukaan sekolah itu juga akan dibuat secara berperingkat-peringkat bermula dengan kelas peperiksaan.

"Perincian pembukaan sekolah mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan diperincikan dan dimaklumkan oleh KPM dalam masa terdekat.

"Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara, tidak ada sekolah yang akan dibuka untuk negeri Fasa 1 PPN," ujarnya pada rakaman tersebut.

Jelas beliau, penjelasan ini diharapkan dapat meredakan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa tentang pembukaan semula sekolah.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keselamatan anak-anak dan kebimbangan ibu bapa.