IPOH- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menahan satu kotak berisi pelbagai jenis pokok keladi import.

Hasil pemeriksaan pegawai Penguat Kuasa MAQIS, mendapati  pokok keladi daripada negara Belanda itu, tidak mempunyai permit import sah dan gagal mengemukakan sijil fitosanitasi daripada negara asal.

“Perbuatan mengimport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisma tanpa permit adalah merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

“MAQIS sentiasa komited dan tegas dalam menjalankan penguatkuasaan di pintu-pintu masuk negara bagi mengelakkan kemasukan penyakit tumbuhan, haiwan, ikan dan menjamin setiap barangan yang dibawa masuk bebas daripada makhluk perosak dan selamat. Kesemua pokok berkenaan ditahan untuk tindakan lanjut, “ kata kenyataan itu.

End//