IPOH - Jumlah mangsa banjir di Perak bertambah apabila seramai 284 orang daripada 78 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga petang ini.

Semalam, mangsa yang dipindahkan adalah seramai 223 orang daripada 65 keluarga.

Ia berikutan pembukaan PPS Dewan Serbaguna Kampung Batu 20, Kampar menempatkan 10 penduduk daripada dua keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, di Kerian mangsa banjir 68 orang (19 keluarga) di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu.

Kesemua mereka merupakan penduduk di Kampung Matang Pasir dan Kampung Parit Simpang Lima.

"Mangsa yang ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak pula meningkat kepada 104 orang daripada 25 keluarga.

"Mereka adalah penduduk dari Kampung Matang Tengah dan sebahagian penduduk Kampung Parit Simpang Lima, Alor Pongsu," ujarnya.

Sementara itu, mangsa banjir di Larut Matang dan Selama pula berkurangan kepada 103 orang daripada 32 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad mahu semua pegawai daerah membuat persediaan awal sekiranya banjir berlaku di daerah masing-masing.

“Mengikut ramalan, cuaca kering diramal sehingga pertengahan September ini tetapi seperti banjir yang berlaku di Yan, Kedah diikuti Pulau Pinang seterusnya di Perak utara.

"Ini menunjukkan musim tengkujuh tiba lebih awal,” katanya semasa melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu dekat sini.