SITIAWAN - Seorang pemandu terselamat daripada bahaya apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dipandunya terbakar.

Kejadian berlaku di Jalan Kampung Baru Sungai Wangi di sini.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.58 petang.

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan dikerah ke lokasi kejadian.

"Semasa bomba tiba, kenderaan MPV tersebut telah terbakar 90 peratus tetapi tidak melibatkan kecederaan.

"Komander operasi kemudian mengarahkan anggota membuat pemadaman menggunakan dua hos air hingga api padam sepenuhnya," ujar jurucakap tersebut.

Operasi yang diketuai PBK II Johari Tomin tamat sepenuhnya pada pukul 5.36 petang.