IPOH – Program vaksinasi di negeri ini berjalan lancar apabila seramai 1,118,358 atau kira-kira 60.04 peratus penduduk Perak telah menerima dos pertama manakala 797,317 (42.81 peraus) telah lengkap kedua-dua dos.

Justeru, kerajaan negeri mensasarkan peralihan pada fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan memanfaatkan sepenuhnya 688,000
bekalan vaksin yang bakal diterima.

Menteri Besar, Dato’ Saarani Mohamad berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi mempertingkatkan peratusan suntikan vaksin dalam kalangan rakyat sekali gus mencapai imuniti berkelompok.

“Bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada kawasan berkepadatan tinggi, usat pemberian vaksin (PPV) Awam sedia ada telah dinaiktaraf kepada kapasiti harian yang lebih tinggi di samping mewujudkan kaedah pemberian vaksin secara pandu lalu dan juga melaksanakan program jangkauan komuniti atau mobile outreach.

“Sehingga 24 Ogos terdapat 22 PPV Awam, 6 PPV Pandu Lalu, 14 kumpulan PPV Bergerak, 8 PPV Khas, 1 PPV Integrasi (awam dan swasta), 1 PPV NGO, 1 PPV IPT, 15 PPV Hospital Swasta (PPVHS), 150 PPV Pengamal Perubatan (PPV GP) dan 8 PPV PIKAS dengan kapasiti suntikan harian antara 40,000 hingga 45,000 sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Pasir Panjang dalam sidang Dewan Negeri Perak hari ini.

Perak turut mencatatkan rekod tertinggi pemberian vaksin sebanyak 39,998 semalam.

Dalam pada itu kata Saarani, kerajaan negeri sedang membuat penilaian terhadap cadangan mewujudkan 12 lagi PPV baru dan menaiktaraf 3 PPV sedia ada.

“Bagi kawasan pendalaman pula, pemberian vaksin telah dilakukan secara jangkauan komuniti (outreach) dengan sasaran komuniti atau penduduk di kawasan Felda/Felcra dan kawasan komuniti orang asli.

“Ia dijalankan oleh pasukan PPV bergerak yang melibatkan kakitangan Jabatan Kesihatan dengan dibantu oleh Jabatan-jabatan lain yang berkenaan,” jelasnya.

Negeri Perak dijangka akan mencapai imuniti kelompok 80 peratus selewat-lewatnya pada Oktober dan selesai keseluruhan vaksinasi pada November.