IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini membentangkan belanjawan defisit sebanyak RM11 juta bagi Bajet 2022 membabitkan peruntukan sebanyak RM240 juta.
 
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, anggaran hasil yang akan diperoleh tahun hadapan adalah berjumlah RM221 juta.
 
Katanya, anggaran hasil itu membabitkan akan peningkatan sebanyak RM1 juta berbanding tahun 2021 yang berpunca daripada Hasil Cukai (69 peratus), Hasil Bukan Cukai (23 peratus) dan Terimaan Bukan Hasil (8 peratus). 
 
"Hasil daripada cukai dijangka akan bertambah sebanyak RM2.3 juta atau 1.5 peratus bagi tahun 2022. 
 
"Anggaran peningkatan bagi hasil cukai ini adalah berdasarkan kepada pertambahan bilangan pegangan harta yang siap dibina dan akan dikenakan cukai taksiran manakala bagi hasil-hasil lain dianggarkan akan berlaku penurunan atau sama seperti tahun 2021. 
 
"Dalam masa sama, MBI akan meneroka beberapa hasil baru bagi menampung anggaran penurunan hasil bagi tahun 2022," katanya pada sesi pembentangan Bajet 2022 MBI yang diadakan di Dewan Mesyuarat MBI, hari ini. 
 
Sesi pembentangan ucapan bajet itu turut disiarkan secara langsung melalui laman Facebook majlis tersebut di sini. 
 
Rumaizi berkata, Bajet 2022 yang bertemakan 'Pemulihan Ekonomi Untuk Kesejahteraan Bandar' itu diagihkan mengikut keutamaan beberapa sektor iaitu perkhidmatan bandar; infrastruktur; kemudahan awam serta sosial dan pengurusan majlis. 
 
Menurutnya, keseimbangan, di antara kestabilan pembangunan yang berteraskan ciri-ciri bandar raya bersih, hijau dan maju, dengan keseluruhan dana terbesar yang pernah diuruskan majlis yang dianggarkan berjumlah RM350 juta.
 
Tambahnya, anggaran dana itu meliputi perbelanjaan mengurus; pembangunan dan sosial; Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan lain-lain peruntukan membabitkan kemudahan infrastruktur dan awam dari pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). 
 
"Justeru, dana terbabit perlu dijalinkan secara adil dalam memastikan rancangan dan pelan fiskal pembangunan bandar raya Ipoh berada dalam keadaan saksama," ujarnya. 
 
Beliau berkata, Ahli Majlis - Ahli Majlis MBI sentiasa prihatin terhadap keupayaan majlis dan keperluan warga kotanya telah banyak memberikan sumbangan dalam meningkatkan prestasi dan mutu perkhidmatan majlis.
 
"Keadaan ini dapat dibuktikan melalui komitmen yang diberikan dalam pembangunan aktiviti-aktiviti sosial di komuniti setempat.
 
"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak media, pemimpin masyarakat, pertubuhan sukarela, persatuan penduduk terutamanya warga bandar raya Ipoh sendiri yang prihatin dengan perkembangan semasa bandar raya Ipoh dalam menangani pelbagai isu yang dihadapi secara bersama," katanya.