IPOH – Sebanyak 80 kes bunuh diri direkodkan bagi tempoh Mac 2020 sehingga Julai lalu di Perak yang antara disebabkan tekanan jiwa, masalah kewangan, penyakit, masalah dadah dan sakit mental.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, bilangan pesakit mental yang berdaftar tahun ini sehingga Jun lalu pula adalah seramai 4,559 orang.

“Jika dipecahkan mengikut komposisi, kaum Cina seramai 32 orang, India (29), lain-lain (11) dan Melayu (lapan). Kes membabitkan lelaki lebih tinggi iaitu 66 manakala perempuan 14 orang,” katanya.

“Berikutan itu, kerajaan negeri mengambil langkah pencegahan melibatkan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) dan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak hari ini.

Bagi menangani isu kesihatan mental dalam situasi pandemik Covid-19, JKN melaksanakan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan sosial di hospital dan klinik Kesihatan untuk membantu menstabilkan emosi individu yang terkesan.

Dalam pada itu kata Wan Norshikin, menerusi Talian Kasih (15999) JKM, isu gangguan mental, keganasan rumah tangga, penderaan wanita dan kanak-kanak, pembuangan bayi, masalah sosial remaja, masalah OKU, warga emas, isu pemerdagangan manusia dan lain-lain lagi dapat ditangani.

Jelasnya, perkhidmatan talian ini merupakan penghubung antara kumpulan sasar dengan pihak agensi seperti JKM betujuan pertanyaan, aduan, kaunseling, rujukan dan tindakan lanjut.

“Skuad Waja (Wanita Anti Jenayah) Perak yang bertujuan memperkasakan komuniti melalui bimbingan psikososial dan aktiviti dalam komuniti.

“Ini bagi meningkatkan kesedaran sikap ambil peduli kepada masyarakat sekeliling khususnya jiran tetangga bagi membantu mangsa yang berdepan dengan masalah seperti gangguan mental dan lain-lain,” katanya.