IPOH - Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan memberikan sumbangan khas kepada guru kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil, atas tindakan beraninya menyelamatkan empat remaja perempuan daripada lemas dalam tali air di Kampung Gajah, pada Rabu lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menzahirkan penghargaan kepada guru berusia 31 tahun itu atas keberanian dan jasanya menyelamatkan mangsa. 

"Tindakan beliau yang sanggup mengambil risiko bagi menyelamatkan mangsa yang dihanyutkan arus deras wajar dipuji.

"Hanya mereka yang tidak mementingkan diri mampu memberi reaksi seberani itu dalam sekelip mata, biar pun membahayakan nyawa sendiri," dalam kenyataan media di sini hari ini. 

Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal meminta semua rakyat mendoakan semoga semua mangsa yang terlibat dalam tragedi itu pulih sepenuhnya. 

Semalam media melaporkan seorang guru KAFA sanggup mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan empat remaja perempuan yang hanyut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam tali air di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah.

Kejadian sekitar jam 12.20 tengahari itu disedari Muhammad Nor Imran yang sedang melalui jalan itu ketika dalam perjalanan ke Hutan Melintang.

Video guru KAFA Sekolah Rendah Agama Rakyat Parit 25 Baroh, Tanjung Bayan, Hutan Melintang itu juga tular di media sosial selepas berjaya menyelamatkan semua mangsa.

Difahamkan, semua mangsa yang berusia 18 tahun itu dibawa ke Hospital Teluk Intan dan Changkat Melintang untuk rawatan lanjut.