IPOH - Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyarankan orang ramai sekiranya tidak berpuas hati terhadap bil elektrik bulanan yang diterima supaya merujuk ke Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau Suruhanjaya Tenaga (ST).

Shamsul Anuar berkata terdapat keluhan dan kekeliruan rakyat mengenai penerimaan bil elektrik masing-masing selepas TNB menyambung semula pembacaan meter secara fizikal sejak 15 Mei lalu.

"Pihak kementerian dan TNB akan memberikan penjelasan lebih terperinci kepada rakyat bagi mengatasi kekeliruan yang dihadapi.

"Kita akan menambah kemudahan Kedai Tenaga mulai 1 Jun supaya rakyat boleh berhubung untuk dapatkan maklumat tentang perkara ini.

"Pihak TNB tidak membuat pengiraan bil elektrik sewenang-wenangnya sebaliknya ia dilakukan setelah mendapat kelulusan ST selaku badan pengawal selia," katanya dalam sidang media mengenai pelaksanaan Program Solar Berskala Besar oleh Industri Elektrik Malaysia Bagi Menarik Pelaburan Tenaga Boleh Diperbaharui (LSS@MenTARI) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rungutan orang ramai yang menerima bil elektrik tinggi menerusi pembacaan meter secara fizikal selepas ia dihentikan sementara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif St, Razib Dawood berkata pengiraan oleh pihak TNB adalah mengikut tertib ditetapkan dan tidak wujud isu syarikat utiliti tersebut sengaja melambatkan bacaan.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai yang tidak berpuas hati boleh merujuk kepada TNB atau pihaknya dan jika terdapat kesilapan, penyelarasan bil boleh dibuat untuk bacaan meter pada masa akan datang.