IPOH – Hukuman gantung menanti seorang ahli perniagaan sekiranya didapati bersalah selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini kerana membunuh seorang pengawal keselamatan pada Disember lalu.

Tertuduh, Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33, dikenakan tuduhan baharu itu berikutan mangsa, S. Thava Sagayam, 64, yang sebelum ini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.

Dia sebelum ini dituduh di mahkamah sama pada 6 Januari lalu di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah.

Kes tersebut dijadualkan untuk sebutan semula hari ini, namun mahkamah membenarkan pihak pendakwaan untuk menarik balik dan melepaskan tanpa membebaskan tertuduh daripada pertuduhan asal.

Permohonan untuk menggugurkan pertuduhan di bawah Seksyen 335 dan mendakwa semula tertuduh dengan dakwaan membunuh dibuat Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi.

Prosiding terhadap tertuduh diteruskan dengan pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan oleh jurubahasa.

Pada prosiding tersebut, tertuduh mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa membunuh Thava Sagayam di tingkat tujuh Menara Majestic, Jalan CM Yusuff antara pukul 8 hingga 9.30 pagi pada 29 Disember 2020.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengklasifikasikan semula kes seorang pengawal keselamatan yang diserang ketika sedang bertugas di kolam renang sebuah kondominium di sini Disember tahun lalu, sebagai kes bunuh selepas mangsa meninggal dunia.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya merujuk semula kes berkenaan kepada pihak pendakwa raya dengan mencadangkan pertuduhan lebih tinggi dikenakan kepada suspek.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati terhadap pengawal keselamatan itu kerana cuba menghalang anak suspek menggunakan kolam renang yang tidak dibuka kepada orang ramai ketika itu.

Bagaimana pun, beliau berkata, pengawal keselamatan itu meninggal dunia di rumahnya pada Jumaat lalu dan hasil bedah siasat pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mendapati punca kematian disebabkan jangkitan pada paru-paru.