IPOH - Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meluangkan masa turun padang mengikuti Program Outreach Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sekitar kawasan Parlimen terbabit, hari ini.
 
Tiga penerima vaksin terbabit terdiri daripada seorang warga emas wanita yang uzur serta mempunyai masalah kesihatan; wanita kelainan upaya (sindrom down) dan lelaki dewasa yang mengalami autism. 
 
Ahmad Faizal turut memberikan kata-kata semangat kepada penerima-penerima penerima dos pertama suntikan vaksin itu. 
 
Menurutnya, program outreach ini dilihat sangat memberangsangkan dan amat membantu masyarakat terutamanya mereka yang sukar untuk ke PPV. 
 
"Berikutan itu, saya berharap PPV Klinik Briged Utara PGA ini akan meneruskan tugas memberi vaksin kepada keluarga pesara, orang awam terlantar dan golongan kelainan upaya supaya imuniti kelompok dapat dicapai dalam masa terdekat," ujarnya ringkas. 
 
Terdahulu, Ahmad Faizal menyampaikan sumbangan pakaian perlindungan diri (PPE) dan pelitup muka kepada Timbalan Komander Briged Utara PGA Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis untuk diserahkan kepada petugas di PPV berkenaan. 
 
 
Hadir sama, Pegawai Kebajikan Briged Utara PGA merangkap Pegawai Penyelaras PPV Klinik Briged Utara, Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad dan Setiausaha Organisasi Gerakan Perak, Chek Kwong Weng. 
 
Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal yang juga Penasihat Food Bank Perak turut menyampaikan bantuan kotak makanan kepada 200 penduduk kurang berkemampuan serta mahasiswa yang memerlukan di sekitar Parlimen Tambun. 
 
Sumbangan kotak makanan itu disampaikan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun Hulu Kinta.
 
Pengurus Operasi Perak Food Bank, Masdiana Azman berkata, setakat ini pihaknya telah menyumbangkan kira-kira 5,000 kotak makanan sepanjang tempoh Jun hingga Ogos lalu. 
 
"Setiap minggu sekurang-kurangnya 200 kotak akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan di sekitar negeri ini," jelasnya.