IPOH - Degil! Demikian sikap 18 muda-mudi yang ditahan polis awal pagi tadi kerana berhibur di sebuah apartment di Meru, dekat di sini.

Mereka yang berusia antara 17 hingga 26 tahun itu termasuk empat wanita pernah ditahan sebelum ini kerana melanggar kesalahan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Remaja lelaki berusia 17 tahun, masih bersekolah dan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, polis terpaksa memecahkan pintu kediaman tersebut setelah penghuninya berdegil dan enggan membuka pintu.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Pencegahan Judi/Maksiat/Gangsterism Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerusi Ops Covid Noda.

Turut dirampas, sebuah telefon bimbit jenama Iphone 7+, pembesar suara jenama Sonigear,  pembesar suara kecil dan paparan lampu laser.

Menurut jurucakap polis, serbuan dilakukan hasil maklumat awam berikutan bunyi bising di apartment tersebut.

"Semasa polis tiba, kesemua penghuni di rumah tersebut dipercayai sedang berhibur kerana memasang lagu dengan kuat.

"Pemeriksaan polis mendapati kesemua 14 lelaki dan empat perempuan Melayu itu gagal memberi alasan munasabah kerana melepak dan berhibur," ujar jurucakap tersebut.

Kesemua mereka telah didapati melakukan kesalahan kerana melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Hasil semakan polis juga mendapati kesemua mereka pernah ditahan berkaitan kesalahan melanggar PKP sebelum ini manakala tiga lagi berkaitan kesalahan dadah.

Mereka direman selama tiga hari bagi membantu siasatan termasuk menjalani ujian air kencing.

Bagi kesalahan berkaitan PKP pula, sekiranya sabit kesalahan mereka boleh didenda RM1,000, penjara atau kedua-duanya sekali.