IPOH - Bandaraya Ipoh meraikan sambutan ulangtahun yang ke-32 pada bulan ini sekaligus menyaksikan tranformasi kepesatan sebuah bandar yang disifatkan antara paling unik di negara ini.

Ia mempunyai sejarah dan identiti tersendiri yang telah mewujudkan pelbagai keistimewaan.

Ipoh diapit oleh Banjaran Titiwangsa di sebelah Timur dan Gunung Kledang di sebelah Barat.

Bukit-bukit batu kapur yang mengelilingi bandar ini juga menjadikan ia sebuah bandar yang unik serta berbeza berbanding bandar-bandar lain di Malaysia.

Ipoh juga terkenal dengan panggilan Bandar Bunga Kertas (Bougainvillea), Limau Tambun dan Gua Batu Kapur.

Bandar ini bermula dari sebuah perkampungan Melayu yang wujud lebih 100 tahun dahulu di tebing Sungai Kinta. 

Nama bandar Ipoh itu sendiri berasal daripada sepohon pokok yang mengeluarkan getah beracun atau dikenali juga dengan upa.

Pokok Ipoh Antiaris Toxicaria ini banyak terdapat pada waktu itu di kawasan Kinta terutama Kampung Paloh. 

Getah beracun dari pokok itu banyak kegunaannya khususnya oleh masyarakat orang Asli untuk berburu selain untuk mempertahankan diri serta keluarga mereka.

Bukti kehadiran masyarakat Melayu Islam yang membangunkan bandar Ipoh juga boleh dilihat menerusi Masjid Panglima Kinta di Kampung Kuchai yang berusia 122 tahun.

Masjid pertama di Ipoh ini dibina oleh Datuk Panglima Kinta Mohamed Yusof pada tahun 1898.

Bersebelahan sebelah masjid ini turut terdapat Tanah Perkuburan waris dan kerabat Dato Panglima Kinta yang boleh diziarahi oleh orang awam.

Kewujudan Kampung Kuchai di persisiran Sungai Kinta itu juga memperlihatkan warisan penempatan Melayu yang menjadi bukti penting sejarah awal di negeri Perak.

Justeru, pembangunan Ipoh moden boleh disimpulkan berlaku sekitar 1880an berikutan kepesatan perlombongan bijih timah yang turut menarik kehadiran imigran dan buruh asing.

Sebuah lagi penempatan awal orang-orang Melayu peneroka asal Ipoh ialah Kampung Paloh.

Masjid Kampung Paloh pula dibina oleh Orang Kaya-Kaya Dato’ Seri Adika Raja Wan Mohamed Salleh Bin Wan Abu Bakar pada tahun 1912.

Wan Mohamed Salleh merupakan Ketua Penghulu dan Pembantu Pemungut Hasil Tanah semasa pentadbiran Frank Swettenham.

Pada hari ini, penduduk Ipoh dianggarkan berjumlah kira-kira 800,000 orang yang majoritinya masyarakat Cina sekitar 52 peratus, Melayu (32 peratus) dan India (15 peratus).