BAGAN SERAI- Malang berganda. 

Sudahlah hilang punca pendapatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini ketua keluarga pula terlantar akibat penyakit Lumbosacral Spine atau tulang bernanah. 

Demikian nasib Nadzri Mohamed, 53, dari Taman Serai Jati, di sini apabila bukan sahaja hilang punca pendapatan dan tidak boleh berniaga, malah tidak lagi mampu berdiri berikutan penyakit yang dialami.

Lebih menyedihkan, Nadzri dan keluarga kini buntu mencari dana untuk melangsaikan baki hutang rawatan pembedahan tulang belakangnya berjumlah RM9,710.26 dari sebuah hospital swasta di Perak. 

Menurutnya dia dan keluarga kini tidak mampu membayar hutang tersebut berikutan tiada lagi sumber pendapatan lain. 

"Kami sekeluarga termasuk isteri dan seorang anak, hanya berniaga menjual tudung di pasar-pasar sekitar daerah Kerian. 

"Namun semenjak PKP dilaksanakan, kami sekeluarga dah tak boleh meniaga dan tak ada sumber pendapatan lain. 

"Ibarat jatuh ditimpa tangga apabila awal April lalu saya mula mendapat penyakit tulang bernanah dan selepas beberapa kali pembedahan dibuat, saya kini hanya mampu terlantar dan tidak mampu berdiri lama malah terpaksa menggunakan pada tongkat," katanya ketika ditemui media selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat, hari ini. 

Nadzeri mula melakukan pembedahan pada  pertengahan April lalu dan sehingga kini sudah lima kali dia menjalani pembedahan dan rawatan . 

Justeru, dia amat berharap ada pihak yang tampil dan sudi membantu meringankan beban yang ditanggungnya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Sham memaklumkan, pihaknya telah membantu keluarga tersebut dan akan membawa perkara tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan pesakit ini mendapat bantuan. 

Orang ramai yang ingin membantu pesakit ini, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun seperti yang tertera di bawah.

NAMA: Nadzri Bin Mohamed

BANK : Maybank

NO AKAUN BANK : 1583 0526 2140

NO TELEFON : 016-8739798