IPOH - Berikutan penularan wabak Denggi dan Chikungunya, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin memberi amaran kepada pemilik tanah terbiar agar segera menguruskannya dari menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Beliau berkata pihaknya akan mengenal pasti pemilik lot tanah terbabit dan akan mengeluarkan surat amaran untuk tindakan segera.

"Dianggarkan kira-kira 40,000 lot tanah di seluruh bandar raya ini dikenalpasti sebagai tanah yang sengaja dibiarkan pemilik.

“Masalah yang susah untuk diatasi adalah yang melibatkan tanah-tanah milik persendirian. Kita mengambil keputusan untuk mengeluarkan kompaun sebagai langkah terakhir sekiranya amaran tidak dihiraukan oleh pemilik", jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual di Pejabat Datuk Bandar, Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam.

Justeru, Rumaizi menyeru semua pemilik supaya memastikan tanah-tanah milik mereka sentiasa berada dalam keadaan baik dan bersih. 

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKN) melaporkan jumlah kes wabak Chikungunya meningkat lebih 30 kali ganda apabila merekodkan 454 kes sejak Januari sehingga 23 Mei tahun ini berbanding hanya 13 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata daripada angka tersebut daerah Kinta menunjukkan peningkatan tertinggi bagi kejadian kes dan wabak Chikungunya.

Katanya, tempat pembiakan nyamuk Aedes seperti di kawasan lot tanah terbiar dan premis tidak berpenghuni adalah antara punca kepada peningkatan kes tersebut.