MANJUNG – Bagi memudahkan golongan penjaja kecil, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah melaksanakan permit penjaja harian sementara yang boleh dimohon sehingga Disember ini. 

Pemberian permit ini bagi membantu dan memudahkan golongan penjaja mendapatkan permit perniagaan dari MPM untuk melakukan aktiviti perniagaan secara harian dengan bayaran hanya RM10 sehari.

Permit ini bagaimanapun hanya tertakluk kepada penjaja makanan dan minuman serta buah-buahan yang bersesuaian sahaja. 

Menerusi maklumat yang dipaparkan pada laman Facebook MPM, permohonan perlu diisi secara harian menerusi capaian https://forms.gle/HZuBbM5RoZVNcyHfA

“Permit ini hanya sah laku pada satu lokasi perniagaan sahaja dan penjaja perlu mengisi borang setiap hari untuk melakukan aktiviti perniagaan.

“Mereka juga tidak dibenarkan berniaga di lokasi berhampiran Pasar Awam atau mana-mana lokasi yang dilarang MPM. Permit harian ini juga boleh dibatalkan sekiranya penjaja melanggar peraturan selain dikenakan kompaun,” ujar kenyataan tersebut.

Bagi sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi pihak Jabatan Pelesenan MPM di talian 05-6871384.