POP Travels Cer Citer Meriahkan Promosi Pelancongan Sepanjang Musim PKP
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Dalam Negeri
- Hits: 619
IPOH, 3 Jun-Pertandingan Digital Storytelling POP Travels: Cer Citer membuka peluang penglibatan pemandu pelancong dalam usaha mempromosi produk pelancongan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pertandingan ini lebih memfokuskan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta penghasilan video bagi mempromosikan Perak dengan cara lebih kreatif.
“Program gabungan Tourism Perak, Digital Perak, Jawatankuasa TVET dan Perak Tourist Guides Association (PkTGA) ini terbuka kepada pemandu pelancong berlesen Perak bermula pendaftaran 4 hingga 15 Jun 2020 melalui Facebook Tourism Perak.
"Pertandingan ini memfokuskan gabungan pelbagai cerita rakyat termasuk destinasi pelancongan. Dimaklumkan seramai 200 orang pemandu pelancong dari negeri Perak yang merangkumi keseluruhan 570 orang ”, katanya dalam sidang media selepas gimik perasmian Pertandingan Digital Storytelling POP Travels: Cer Citer semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Nolee Ashilin Dato' Mohamed Radzi.
Menurut Ahmad Faizal, pertandingan ini mensasarkan seramai 100 orang bagi Fasa 1. Seterusnya, peserta akan mengikuti kelas wajib (masterclass) secara atas talian, konsultasi dan khidmat nasihat, dan mengakses pelbagai maklumat dan video berkaitan.
"Penilaian video akan dijalankan selama seminggu. Pemenang utama menerima wang tunai RM3,000 dan RM500 untuk sepuluh hadiah saguhati beserta sijil dan layak menyertai program promosi dan pemasaran", ujarnya.
Sementara itu, Tourism Perak tetap meneruskan program promosi secara digital sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Orang ramai boleh menyokong usaha ini dengan tanda pagar #TravelPerakLah, #PerakSupportPerak dan #Perakians4Perak. Mereka juga berpeluang menikmati travel vouchers bernilai RM50 yang boleh ditebus mulai pasca PKP ini sehingga 31 Disember depan.