LUMUT - Seorang ejen insurans parah akibat ditetak pelanggannya sendiri dalam kejadian di Marina Villa di sini, semalam. 

Perkara tersebut dipercayai berlaku akibat perselisihan faham berhubung pembelian polisi rumah antara mangsa dan suspek yang masing-masing berusia dalam lingkungan 20-an. 

Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Nor Omar Sappi dalam kenyataannya berkata, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, suspek turut bertindak melanggar enam kenderaan lain di pekan Sitiawan ketika melarikan diri menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire.

“Selepas menetak mangsa, suspek bertindak melarikan diri serta memandu secara melulu sehingga melanggar enam kenderaan lain di pekan Sitiawan. 

“Kemudian, suspek meninggalkan kenderaannya dan melarikan diri ke arah bangunan di kawasan berhampiran sebelum melarikan sebuah kenderaan jenis Proton Saga BLM,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, suspek berjaya ditahan kira-kira jam 2.30 petang dalam keadaan cedera di kawasan Seri Manjung manakala kereta Proton Saga BLM yang dilarikannya ditemui di kawasan ladang sawit di pekan Gurney. 

"Pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut turut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan," ujarnya.