IPOH - Semua masjid, Surau Jumaat dan surau terpilih di Perak kini boleh mendirikan solat Jumaat serta solat berjemaah setiap waktu dengan jumlah jemaah seramai 40 oramg mulai Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari, berkata perkara itu diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berpandukan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan tertakluk kepada syarat yang mesti dipatuhi.

Menurutnya, jemaah yang dibenarkan pula pada masa ini hanyalah dalam kalangan rakyat tempatan sahaja.

“Mulai solat Subuh, hari Jumaat, solat berjemaah pada setiap solat fardu dibenarkan untuk diadakan di semua masjid dan surau di Perak. 

“Bilangan jemaah adalah seramai 40 orang tidak termasuk pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa Kariah,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shahrul Azam berkata, pihak pengurusan masjid dan surau juga perlu memastikan ada kawalan dibuat berhubung keadaan kesihatan jemaah sebelum dibenarkan masuk ke masjid atau surau.

"Ahli jawatankuasa masjid, Surau Jumaat dan surau-surau terpilih perlu memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dipatuhi sepenuhnya. 

“Identiti jemaah yang datang untuk solat hendaklah disemak dan direkod sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat,” ujar beliau.

Katanya lagi, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) juga akan mengeluarkan satu garis panduan dan kaedah terkini pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah pada setiap solat fardu kepada semua masjid dan surau di Perak untuk dipatuhi.