Datuk Seri Saarani kini Brigadier Jeneral Askar Wataniah
- Details
- Sheqal Danish
- Dalam Negeri
- Hits: 581
IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerima pangkat Brigedier Jeneral (Kehormat) pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Tauliah Kehormat Askar Wataniah (AW) semalam.
Majlis tersebut disempurnakan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Ruang Perkasa, Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.
Menerusi kenyataan pada laman Facebook rasmi Tentera Darat, pentauliahan tersebut berikutan Saarani adalah Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (Jakpaw) negeri Perak.
Kata kenyataan itu, ia disempurnakan melalui Majlis Angkatan Tentera Ke-592 (MAT Ke-592) yang bersidang pada 23 Mac 2021.
"Tugas dan tanggungjawab Penaung Jakpaw negeri ialah bertanggungjawab merancang segala program pembangunan Rejimen pasukan-pasukan AW di negeri berkenaan.
"Ini termasuk membantu peruntukan dan pembangunan kem-kem AW, membantu dalam promosi pengambilan di negeri berkenaan dan menyalur bantuan kewangan secara berkala kepada pasukan AW melalui Jakpaw negeri," ujar kenyataan itu.
Semua Menteri Besar dan Ketua Menteri adalah penaung Angkatan Simpanan Persekutuan, justeru pemakaian pangkat pegawai kanan setaraf adalah bagi mereka melaksanakan tanggungjawab dalam mempertahankan kedaulatan negara.