Perak Man Art Trail dan Pameran Solo Salleh Ismail angkat seniman tempatan
- Details
- Sheqal Danish
- Dalam Negeri
- Hits: 565
IPOH - Kepintaran dan kehehebat sesuatu teknologi tidak akan dapat dikuasai tanpa adanya daya kreativiti manusia.
Ini kerana kreativiti itu juga suatu seni yang memacu kehidupan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sama ada kita sedar atau tidak, konsep kreatif tidak lagi sekadar berlegar-legar mengenai keindahan sesuatu hasil seni.
Menurut beliau, konsep kreatif kini melebar jauh di tengah-tengah ledakan teknologi, malah seni mendidik manusia mengenai kreativiti.
"Revolusi Industri 4.0 berasaskan pengetahuan dan teknologi pintar meliputi kejuruteraan elektronik, kejuruteraan genetik dan neuroteknologi.
"Kreativiti bukan lagi hanya berlingkar kepada kerja seni semata-mata, ia sudah menjadi konsep penyelesaian masalah dalam pekerjaan dan kehidupan," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Perak Man Art Trail dan Pameran Solo Salleh Ismail di Hotel Casuarina Meru di sini semalam.
Pameran ini mengumpulkan seramai 30 orang pelukis tempatan dan juga dari Kuala Lumpur di bawah kelolaan Persatuan Pelukis Perak dengan kerjasama Tourism Perak, Balai Seni Negara dan Lembaga Muzium Negeri Perak.
Ujar Menteri Besar lagi, pameran tersebut yang berinspirasikan Perak Man juga perlu dibanggakan kerana ia merupakan khazanah warisan negeri Perak.
Keistimewaan Perak Man meletakkan Lembah Lenggong dalam peta arkeologi dunia ini sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke sana.
"Sekali lagi saya mengucapkan syabas kepada Persatuan Pelukis Perak yang dapat mengumpulkan komuniti pelukis dalam satu usaha yang murni ini.
"Lebih istimewa, pameran ini diadakan bersekali dengan Pameran Solo saudara saya, Salleh Ismail yang secara kebetulan asalnya sekampung dengan saya.
"Pameran ini menunjukkan kepada kita mengenai perjalanan sepanjang lebih 50 tahun pengkaryaan beliau. Tahniah saya ucapkan," ujar beliau.