IPOH - Jalinan kerjasama dimeterai Majlis Bandaraya Ipoh dan Telekom Malaysia Berhad dalam usaha memantapkan pelan strategik menuju Ipoh sebagai sebuah Bandaraya Pintar.

Memoranum Persefahaman (MoU) MBI bersama Unit Rumusan Perniagaan Perusahaan dan Sektor Awam (TM ONE) ini dinoktahkan sempena program City Leap Summit 2022 di Genting Highland, Pahang.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin@Md Daud telah memeterai MoU tersebut bersama Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim.

Ia disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Perak, Khairul Shahril Mohamed dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kamaruzaman Umar.

MBI dalam satu kenyataan memberitahu, menerusi kerjasama ini pelbagai inisatif telah dirancang dan dilaksanakan demi kesejahteraan, kelestarian dan kepentingan wargakota Ipoh.

Pertamanya, pelaksanaan program Smart Traffic di Jalan Sultan Idris Shah yang kini dalam tempoh percubaan yang dilihat dapat membantu melancarkan 51 peratus aliran trafik terutama pada waktu puncak.

"Selain itu kadar pengeluaran karbon di Jalan Sultan Idris Shah juga telah dapat dikurangkan sebanyak 7,500 kilogram sebulan selaras dengan hasrat menjadikan Ipoh sebuah Bandar Bebas Karbon 2030.

"Kedua, Force iaitu sistem digital pengumpulan aduan dan analisa supaya dapat memberikan kepuasan terhadap pelanggan khususnya wargakota Ipoh.

"Melalui Force MBI, ia dapat mengesan dan mambantu semua aduan dan bertindak balas sewajarnya," ujar kenyataan itu.

Ketiga, Centre Call, ia selaras dengan aspirasi MBI untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Sistem ini dapat mencari penyelesaian mengurangkan panggilan yang tidak dijawab dan bertindak balas dengan kadar segera terhadap segala keperluan rakyat kepada MBI.

"Melalui sistem ini, MBI dapat membuat satu capaian komunikasi kepada seluruh wargakota Ipoh.

"Semoga kerjasama ini akan menjadi pemangkin kearah menjadikan Ipoh sebuah bandaraya pintar menjelang 2030," ujar kenyataan itu lagi.