IPOH- Kerajaan Negeri Perak menolak permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memindahkan sebahagian sumber air daripada Sungai Perak ke Negeri Pulau Pinang. 

Menteri Besar Perak, Dato’Seri Saarani Mohamad berkata air Sungai Perak  hanya cukup untuk kegunaan dalam Negeri Perak sahaja dan tidak dapat dibekalkan kepada negeri lain.  

“Kita bersimpati dengan masalah yang mereka hadapi, namun kita mempunyai alasan kukuh untuk tidak dapat memenuhi  permintaan mereka berasaskan kepada laporan yang dibuat oleh empat agensi penting iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Air Perak (LAP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak (UPEN).

“Air Sungai Perak bukan sahaja sebagai sumber bekalan air terawat rakyat Negeri Perak, namun juga digunakan secara meluas untuk penjanaan tenaga hidroelektrik selain daripada pertanian, perikanan dan perindustrian yang semakin berkembang di Negeri Perak.

“Menurut kenyataan LAP, sebanyak lima puluh peratus (50%) daripada sumber bekalan air terawat bagi rakyat Negeri Perak adalah berpunca dan dirawat daripada Sungai Perak dan anak-anak Sungai Perak melalui Loji Rawatan Air (LRA), LAP yang terletak di sepanjang Sungai Perak”, katanya ketika menjawab soalan lisan Dr Abdul Aziz Bari (DAP- Tebing Tinggi) dalam Persidangan Dewan Undangan negeri (DUN) Perak ke-14 di sini hari ini.

Saarani berkata , pihak LAP juga dalam perancangan menaiktaraf kapasiti memproses air mentah di beberapa LRA miliknya dan membangunkan LRA baru di Kampung Gajah untuk bekalan air ke kawasan pembangunan di Seberang Perak sepanjang jajaran West Coast Expressway (WCE) dan juga bagi kegunaan Daerah Bagan Datuk yang memerlukan penggunaan sumber air daripada Sungai Perak.

“ Kita disyorkan oleh JPS, agar memberikan keutamaan kepada daerah Krian untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air bagi tujuan pengairan sawah padi.

“Memandangkan penduduk negeri Perak dijangka akan meningkat kepada 3 juta orang pada 2050 adalah  perlu memastikan permintaan air bagi rakyat Negeri Perak sentiasa mencukupi bagi keperluan domestik dan juga komersial pada setiap masa”, katanya.

Tambahnya lagi, perkembangan pesat industri terutamanya di kawasan Perak Utara mempengaruhi faktor bekalan air yang menjadi tarikan pelabur untuk bertapak di Negeri Perak.

“Berdasarkan data yang diperolehi daripada  Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) Perak, sebanyak 20 kilang sarung tangan getah telah diluluskan dari tahun 2017 sehingga 2020 di mana sebanyak 16 kilang telah memulakan operasi dan bakinya masih dalam peringkat perancangan pembinaan.

“Sebanyak sembilan kilang sarung tangan terletak di kawasan Perak Utara memerlukan penggunaan air yang tinggi untuk membolehkannya beroperasi dengan kapasiti optimum. Justeru, kecukupan bekalan air Negeri Perak perlu mengambil kira unjuran perkembangan perindustrian terutamanya kilang berasaskan getah”, ujarnya.