IPOH - Industri perhotelan Perak kembali aktif setelah menerima 1,030 tempahan selepas pengumuman Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, lebih 40 dari 100 lebih pengusaha hotel yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah menerima tempahan dan ianya di luar jangkaan.

“Melalui kajian kami secara terus ke pihak pengusaha hotel, setakat ini 40 buah hotel telah memaklumkan tempahan mula diterima selepas pengumuman PKPP dimana sektor pelancongan domestik dibenarkan beroperasi semula.

“Tempahan memberangsangkan setakat hari kebanyakannya di Ipoh, Pangkor dan Taiping. Kita berharap jumlah seterusnya akan meningkat dengan lebih baik lagi,”katanya. 

Sementara itu, Nolee merasmikan bengkel dan program taklimat serta garis panduan amalan terbaik bertujuan membantu pengusaha produk pelancongan negeri Perak sepanjang Pasca Covid-19, di Lost World of Tambun, hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Mohammad Odzman Abdul Kadir, Ketua Eksekutif Tourim Perak, Nor Nurmalis Musa, Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd Azahari dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman.

Menurut Nolee, Kerajaan Negeri akan memastikan pengusaha-pengusaha hotel dapat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan melalui bengkel yang diberi dengan kerjasama bomba. 

“Kita telah mewujudkan satu jawatankuasa pemantau bagi memastikan pengusaha mengamalkan apa yang telah disampaikan melalui bengkel ini. Jawatankuasa ini akan turut ke turun padang dalam memastikan perkara tersebut diamalkan.

“Diharapkan semua pengusaha yang telah berdaftar dengan MOTAC, perlulah juga mendaftar dengan Tourism Perak bagi memudahkan semua urusan, "ujarnya.