IPOH – Khidmat petugas pembersihan kadang-kadang hanya dipandang sebelah mata oleh segelintir anggota masyarakat, malah ada yang mengganggap bidang tugas ini pekerjaan ini kelas bawahan.

Realitinya, ramai yang kurang menghargai petugas pembersihan yang bertungkus lumus menyempurnakan tanggungjawab untuk memastikan kebersihan di kejiranan kita bersih.

Bagi pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), waktu kerja mereka bermula seawal jam 6.45 pagi dan hanya berakhir pada jam 4 petang.

MBI bertanggungjawab melaksanakan tiga tugas pembersihan iaitu menyapu sampah, kutipan sampah dan membersihkan sampah haram di bandar raya ini dengan keluasan kira-kira 643 kilometer persegi.

Bagi tugas pembersihan parit, pemotongan rumput dan bukan berkaitan dengan pengurusan sampah, ia dikendalikan oleh syarikat swasta yang dilantik.

MBI ketika ini mempunyai kira-kira 600 orang petugas pembersihan yang diletakkan di bawah Bahagian Perkhidmatan Bandar, Jabatan Kesihatan Awam dan Perbandaran.

Ketua Penolong Pengarah Kesihatan MBI, S Manisegaran berkata, tugas pembersihan dilaksanakan mengikut zon dengan jumlah petugas 18 orang termasuk penyelia.

Menurutnya, mereka akan dibahagikan kepada kumpulan kecil dua orang petugas bagi menyempurnakan tugas tersebut.

“Tiada istilah hari cuti pada tugas pembersihan kerana operasi kita berjalan setiap hari tanpa gagal. Ya, petugas diberi hari cuti mengikut giliran tetapi kerja-kerja pembersihan tetap berjalan.

“Sebagai masyarakat, kita suka apabila kawasan kejiranan kita bersih dan terjaga. Itulah tugas yang dilakukan oleh para petugas pembersihan in,” katanya ketika ditemui semasa meninjau tugas pembersihan di Taman Canning di sini, semalam.

Manisegaran menambah, walaupun pada ketika wabak Covid-19 melanda, operasi pembersihan tetap berjalan seperti biasa.

Bagi Salwan Najumut, walaupun terpaksa berhadapan dengan sampah sarap setiap hari, dia menganggap pekerjaan itu sebagai satu tanggungjawab kepada masyarakat.

“Misalnya kita bekerja pada hari raya Aidilfitri. Terpaksa tinggalkan keluarga untuk keluar bekerja sebab ada amanah yang perlu kami sempurnakan iaitu mengutip sampah dan membersihkan kawasan,” ujarnya.

Kata Salwan, dia juga berharap agar masyarakat dapat memberikan kerjasama dengan tidak membuang sampah merata-rata terutamanya di kawasan yang tidak dilarang.

Rakan sekerjanya, Darma Kanu pula memberitahu, ada juga pihak tidak bertanggungjawab membuang benda-benda yang tidak sepatutnya seperti bangkai haiwan.

“Ada juga anggota masyarakat yang sengaja membuang sampah semasa kami sedang menyapu selain ada yang marah-marah jika ditegur membuang sampah.

“Bagaimana pun kami menganggap ia sebagai asam-garam semasa bekerja,” ujarnya.