IPOH - Masjid Hajjah Puteh Mahami di Bercham Raya di sini pagi tadi diimarahkan dengan kehadiran lebih 200 jemaah pada program Singgah Sahur dan Tazkirah Subuh Bersama Media dan Belia Negeri Perak.

Program sempena Ramadan itu diserikan dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri beserta pegawai-pegawai Kementerian Belia dan Sukan.

Terdahulu, program yang bermula pukul 4 pagi itu didahului dengan konvoi motor disertai Ahmad Faizal bersama sukarelawan ke Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN 7, Jalan Tambun untuk penyerahan pek makanan sahur.

Konvoi kemudian bergerak ke Masjid Hajjah Puteh Mahami untuk bersahur bersama belia, kariah masjid, sukarelawan dan media.

Menurut Ahmad Faizal, program tersebut turut disertai bersama kepimpinan Majlis Belia Malaysia.

Katanya, program sedemikian yang telah diadakan setiap tahun juga bertujuan untuk mendidik anak muda melakukan kerja-kerja kebajikan.

"Selain program ini misalnya Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun turut menganjurkan acara memasak bubur lambuk setiap Ramadan.

"Program kemasyarakatan ini paling penting kerana apabila dilonggarkan pematuhan pada fasa endemik, kita nampak perkara baik seperti ini diteruskan," ujarnya kepada pemberita.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan media yang hadir selain kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.