IPOH- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan mana-mana pengendali kenderaan perdagangan di Malaysia.

Kenyataan media dari Ibu Pejabat JPJ Malaysia itu dikeluarkan, berikutan insiden yang melibatkan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang rentung dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Terowong Menora, pada 12 Mei, lalu.

“Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) bersama-sama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang dilaksanakan untuk menentukan bentuk tindakan undang-undang yang boleh diambil.

“Sekiranya hasil siasatan daripada ICOP mendapati pemandu dan pengendali gagal mematuhi syarat dan permit perkhidmatan oleh APAD dan JPJ, Permit dan Lesen Pengendali boleh digantung atau dibatalkan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Tindakan penggantungan lesen memandu boleh dikenakan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sekiranya pemandu dituduh di mahkamah. Selain itu, siasatan PDRM juga akan menentukan sabitan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta 333 APJ kepada pemandu terbabit untuk hukuman Mahkamah serta.

“Pemandu terbabit juga akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh yang ditentukan Mahkamah”, kata kenyataan itu.

Menerusi trajedi tengah malam itu, nahas membabitkan kereta jenis Honda City dengan dua (2)treler yang masing-masing bermuatan besi dan mozek.

Hasil semakan dalam pengkalan sistem mySIKAP JPJ mendapati, pemandu treler terbabit mempunyai 8 rekod kesalahan yang telah selesai dan satu (1) rekod kesalahan masih aktif dengan 12 mata demerit di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).

“Jumlah mata demerit yang dikumpul akan memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu.

“Usaha JPJ termasuk pelaksanaan Larangan Kenderaan Barangan (Road Ban) sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2022 lalu adalah bermatlamat untuk memastikan nahas seperti ini dapat dielakkan sekaligus menurunkan kadar kemalangan di Malaysia’, katanya.