IPOH - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) merekodkan prestasi kewangan yang memberangsangkan tahun 2021 apabila mencatatkan pendapatan sebanyak RM830 juta berbanding RM410.7 juta sebelumnya.

Daripada sudut pengoperasian, pendapatan yang direkodkan pada tahun 2021 adalah sebanyak RM511 juta iaitu peningkatan sebanyak 24.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Lonjakan ini dipengaruhi faktor peningkatan harga purata Minyak Sawit Mentah (MSM) daripada RM2,692 satu metrik tan kepada RM4,371.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain itu rizab dana Perak SADC turut merekodkan peningkatan sebanyak 62.2 peratus iaitu daripada RM473 juta pada tahun 2020 kepada RM767 juta pada 2021.

“Nilai aset bersih Perak SADC juga dilaporkan melonjak daripada RM1.781 billion pada sebelumnya kepada RM2.068 billion tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus,’’ katanya yang juga Pengerusi Perak SADC.

Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Perak SADC di Ibu Pejabat Perak SADC di sini.

Saarani berkata, prestasi kewangan yang baik itu bukan sahaja membolehkan Perak SADC mengembangkan perniagaannya, tetapi juga membantu kerajaan negeri menjana semula ekonomi dalam fasa endemik.

Ini termasuklah melaksanakan program pengupayaan kapasiti rakyat seperti pembangunan keusahawanan selain melaksanakan projek-projek pertanian berdaya maju.

“Sebelum ini pun sudah menjadi tanggungjawab Perak SADC menyantuni golongan rakyat yang memerlukan. Memandangkan prestasi yang semakin baik, maka kita kongsi lebih lagi bersama rakyat,” ujar beliau.

Ia sekaligus menambahkan pulangan pendapatan kepada Perak SADC selain disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Pada tahun ini sahaja, Perak SADC telah memperuntukkan sejumlah RM30.7juta bagi sumbangan kepada rakyat serta alam sekitar,’’ tambah beliau.

"Bagi mengukuhkan inisiatif membantu rakyat, Perak SADC mewujudkan konsep #kongsirezeki sebagai platform menyalurkan sumbangan atau bantuan kepada golongan asnaf melalui program tanggungjawab sosial iaitu Agihan Ladang Asnaf menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.

Sumbangan berjumlah RM90,000 disalurkan dalam program ini dan bakal memberi manfaat kepada 300 penerima yang terdiri dalam kalangan golongan asnaf yang mana setiap daripada mereka akan menerima RM300.

Selain itu, Perak SADC juga telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM1,416,500 sepanjang bulan Ramadan kepada penerima di beberapa daerah di negeri Perak yang turut melibatkan sekolah, masjid, maahad tahfiz, penyediaan bubur lambok serta program tadarus Al-Quran.

“Alhamdulillah, Perak SADC terus melakar kejayaan demi kejayaan. Insiatif #kongsirezeki ini adalah manifestasi komitmen berterusan Perak SADC untuk terus menyantuni rakyat serta golongan yang memerlukan," ujarnya.