Ipoh Padang bermandi cahaya, meriahkan sektor pelancongan negeri Perak
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Dalam Negeri
- Hits: 1067
Ipoh – Ipoh Padang kini bermandi cahaya setelah projek Ipoh Heritage Tourism (IHT) secara rasminya dibuka kepada umum yang sekali gus memeriahkan sektor pelancongan di negeri Perak khususnya di bandaraya ipoh.
Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata pembangunan Ipoh Padang memberi pilihan tarikan baharu kepada pengunjung untuk beristirahat dan memanfaatkan komuniti perniagaan terutamanya penyedia perkhidmatan pelancongan tempatan.
“IHT merupakan salah satu inisiatif kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang bernilai RM11 juta dalam menaiktaraf pelbagai infrastruktur dan kemudahan sebagai pelancongan warisan di Ipoh.
“Ia selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) 2021-2025 untuk membantu proses pemulihan industri pelancongan tempatan yang telah terjejas akibat wabak COVID-19.
“Di samping memastikan setiap aspek warisan asli projek ini terpelihara, projek IHT akan memberikan limpahan ekonomi yang amat diperlukan dengan peningkatan kedatangan pelancong ke Ipoh yang secara tidak langsung akan meningkatkan aktiviti perniagaan di kalangan usahawan mikro kecil dan sederhana. Sebanyak 200 peluang pekerjaan baharu akan dihasilkan dan ini akan memangkin pertumbuhan keseluruhan ekosistem pelancongan tempatan”, katanya dalam sidang media sempena pelancaran projek Ipoh Heritage Tourism (IHT), di sini semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi bin Baharin @ Md Daud.
Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata secara rasminya Ipoh Padang dibuka kepada orang ramai sebagai tanda siapnya Pakej 1A, projek IHT yang telah dibangunkan pada 2 September 2020. Keseluruhan Projek IHT akan siap pada suku pertama 2024.
“Pembangunan Ipoh Padang melibatkan pemasangan infrastruktur pertunjukan cahaya dan bunyi yang memaparkan sejarah dan budaya negeri Perak, destinasi-destinasi pelancongan serta memoir kartunis tersohor negeri Perak, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid (Datuk Lat).
“Komponen utama projek ini adalah pertunjukan visual dan bunyi berkonsepkan pemetaan cahaya (Projection Mapping) pada fasad bangunan yang dapat mengetengahkan budaya, seni, karya, dan lokasi tarikan pelancongan di negeri Perak. Bangunan fasad tersebut dibina lengkap dengan kemudahan pengunjung seperti tandas, bilik mandi dan bilik persalinan.
“Pertunjukan ini mampu memperkenalkan keunikan negeri Perak dan seterusnya menjadi salah satu daya tarikan pelancongan baharu khususnya untuk Bandaraya Ipoh”, katanya.
Sebanyak 10 tema video disusun untuk tayangan selama tiga hari bermula pada hari pelancaran. Tanyangan seterusnya ialah pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula jam 9.00 hingga 10.30 malam. Tema berkonsepkan Pemetaan Cahaya ini memaparkan tayangan grafik yang berinteraksi dengan fasad bangunan. Hasil tayangan ini adalah unik dan berbeza dengan tayangan layar putih.
Menurutnya, pakej 1B pula melibatkan kerja-kerja menaiktaraf dan baikpulih kemudahan pelancongan seperti memperbaiki laluan dan jambatan pejalan kaki serta kedai-kedai di Kinta Riverwalk telah siap pada penghujung tahun 2021 dan dirasmikan pada Januari tahun ini.
“NCIA akan turut melaksanakan usaha menaik taraf bangunan lama Ipoh Town Hall di bawah Fasa Dua projek Pelancongan Warisan Ipoh yang dijangka bermula pada suku ketiga 2022. Bangunan lama Dewan Perbandaran Ipoh akan dinaiktaraf untuk menjadi Pusat Seni Persembahan, serta pembaikan dan penaiktarafan bangunan Pejabat Pos Lama menjadi Galeri Seni Digital. -PERAKTASTIC.