Ipoh- Sorotan tragedi kepala air melibatkan dua pendaki di Gunung Suku dekat Hutan Simpan Bukit Kinta lalu, semua aktiviti pendakian dan rekreasi di kawasan hutan simpan di negeri ini dihentikan sementara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Kerajaan negeri Perak mengeluarkan arahan itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian seumpana berulang lagi kepada para pendaki mahupun pengunjung hutan lipur.

"Keadaan cuaca ketika ini tidak menentu dan fenomena kepala air pasti berlaku sekiranya hutan lebat yang berterusan. Arahan ini berkuatkuasa serta merta sehinggalah keadaan cuaca kembali stabil dan selamat untuk dibuka semula kepada orang ramai.

“Di Perak terdapat 14 kawasan rekreasi atau riadah di mana ada air terjun dalam kawasan hutan simpan di bawah kawalan Jabatan Perhutanan Negeri Perak termasuk beberapa kawasan yang memang dibuka kepada orang ramai untuk berkelah, mandi-manda.

“Jabatan Perhutanan negeri juga akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada pendaki dengan menguatkuasakan penggunaan malim gunung. SOP baharu itu diperkenalkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku walaupun pendaki tersebut mempunyai permit masuk ke dalam hutan simpan”, katanya kepada pemberita ketika hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 Jabatan Perhutanan Negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Bandar Meru Raya di sini semalam.

Perkembangan terkini, satu lagi kes baharu kematian membabitkan seorang pendaki berusia 66 tahun dilaporkan meninggal dunia ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 14 lagi rakannya di Gunung Yong Belar malam semalam.

Menurut sumber, mangsa meninggal dunia akibat kepenatan. Sebuah helikopter digunakan dalam misi menyelamat dan membawa turun.