Professionalisme dan etika tangkis kekeliruan maklumat berita – Rumaizi Baharin
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Dalam Negeri
- Hits: 480
IPOH- Sikap professionalisme dan etika kewartawanan ternyata mampu menangkis sebarang dakwaan kurang tepat berhubung sesuatu maklumat yang disampaikan.
Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @Md Daud berkata media massa mempunyai kuasa mutlak dalam membuat pemilihan samada sesuatu isu itu sesuai dijadikan bahan berita yang benilai atau sebaliknya.
“Saya menyanjung serta menghargai kebebasan pihak media dalam menentu dan menapis sumber-sumber maklumat berita sebelum disiarkan. Saya yakin berpandukan etika kewartawanan yang dipatuhi akan dapat mengelakkan isu-isu yang menyentuh sensitifviti semua kaum dan tidak berbentuk provokatif.
“Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), saya serta pengurusan MBI juga terikat dengan pelbagai peraturan sepertimana pematuhan etika yang menjadi garis panduan pihak media.
“Terima kasih kepada semua media massa yang selama ini membantu MBI dalam menyebarkan berita-berita yang seimbang dan tepat khususnya kepada semua masyarakat berbilang kaum di negeri ini”, katanya dalam ucapannya sempena Majlis Ria Ria Aidilfitri Bersama Media, di Roof Hotel, di sini malam tadi.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Sukan & Kebajikan Media Perak (KSKMP), Rosli Mansor Ahmad Razali berkata para media sosial juga seharusnya sentiasa memastikan sumber berita yang disiarkan adalah benar supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan percanggahan kepada fakta sebenar.
“Kita sedia maklum, pengamal media arus perdana sememangnya sentiasa mengamalkan sikap professionalisme serta dilatih dalam pematuhan etika kewartawanan agar kebenaran berita yang disiarkan tidak diragui.
“Saya berharap kepada semua ‘influencer’ yang berpengaruh di pelbagai jaringan media sosial agar sentiasa memastikan semua maklumat berasaskan kepada sumber yang benar supaya ianya tidak menimbulkan sebarang percanggahan dan perbahasan netizen’, katanya.
Beliau turut merakamkan terima kasih kepada MBI khususnya Dato’ Rumaizi yang selama ini sentiasa menghargai pihak media massa dengan perlbagai penganjuran program dan aktiviti.
“Saya berharap pengajuran program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ianya dapat memperatkan lagi hubungan mesra antara media dengan MBI. Ia juga dapat mewujudkan sikap ketelusan dan menghindari sebarang keraguaan”, katanya.
Malam tadi, MBI meraikan 100 orang pengamal media sempena Majlis Ria Ria Aidilfitri Bersama Media. Antara acara yang dilangsungkan ialah persembahan dari beberapa wakil media bersama Kombo Unit Kebudayaan MBI, penampilan khas artis rock tanahair Mus May dan cabutan bertuah.
Hadir sama, Setiausaha Majlis, Ahmad Munir Ishak dan Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Clr. Dato' Mazlan Abd Rahman.