BATU GAJAH - Kerajaan Negeri akan mengecualikan bayaran kadar cukai tiket kepada pengusaha taman tema sehingga 31 Disember 2020 dan pengecualian bayaran pembaharuan lesen hotel kepada 560 hotel berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kedua-dua pengecualian tersebut adalah pendekatan terbaik sebagai langkah pemulihan sektor ekonomi dan pelancongan negeri ini.

“Industri pelancongan antara penyumbang terbesar ekonomi negara. Ia menyumbang 15.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mewujudkan 3.7 juta peluang pekerjaan di seluruh negara.

“Justeru, adalah wajar Kerajaan Negeri membantu dan memberi sokongan kepada industri perhotelan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menangani penularaan wabak Covid-19.

“Sebanyak RM10.84 juta diperuntukan untuk membantu pemulihan industri pelancongan negeri ini. Beberapa insifiatif telah dirancang bagi menaik taraf infrastruktur pelancongan serta menambah baik dan mempelbagaikan Strategi Penggalakkan Pelancongan”, katanya sewaktu berucap di pelancaran “Travel Vouchers #Travelperaklah” fasa pertama di Kellie’s Castle, Batu Gajah semalam.

Tambahnya, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM4.3 juta untuk membantu 1,500 pekerja yang hilang pekerjaan dan mengekalkan pekerjaan dalam pelbagai sektor. Ianya merupakan inisiatif sebahagian daripada Program Transformasi Tenaga Kerja.

Menurutnya, kerajaan negeri amat serius dan komited bagi merancakkan semula sektor pelancongan di Perak.

“Saya yakin dengan sokongan yang berterusan dari kerajaan negeri sektor pelancongan di Perak akan kembali pulih bagi menjana semula ekonomi dan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat”, katanya.