TAIPING – Caj upah bagi khidmat menggunting dan dandanan rambut bakal naik antara RM1 hingga RM3.

Perubahan caj ini dipersetujui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan tujuh persatuan penyedia perkhidmatan tersebut sesuai dengan pertambahan kos.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, antara lain bagi kos apron pakai buang dan sarung tangan yang akan turut dipakai oleh pelanggan.

Menurut beliau, kesalahan mengikut ketetapan harga tersebut boleh menyebabkan penyedia perkhidmatan ini didenda sehingga RM500,000.

"Bermakna tambahan harga yang dibenarkan hanya dalam lingkungan tersebut, jadi jangan buat sebarang penambahan yang melampau.

“Selain denda, mereka juga boleh dikompuan antara RM50,000 sehingga RM250,000," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau operasi pusat dandanan rambut di sini hari ini.

Sementara itu kata beliau, sehingga kini pihaknya telah mengeluarkan lima notis amaran terhadap pemilik kedai gunting dan pendandan rambut kerana sengaja menaikkan caj berlebihan.