KUALA KURAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menahan dua nelayan tempatan di kedudukan 1.6 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar, kira-kira jam 11.57 pagi, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, bot nelayan terbabit dikesan oleh bot Maritim Malaysia dalam keadaan mencurigakan semasa rondaan rutin di perairan negeri Perak.

Katanya, hasil pemeriksaan pasukan operasi mendapati, dua nelayan warga tempatan termasuk tekong, masing-masing berumur 51 dan 53 tahun berada di atas bot.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, bot mempunyai dokumen vesel yang sah namun, memiliki 35 set bubu naga yang disyaki digunakan sebagai alat menangkap ikan.

"Nelayan, bot, bubu naga serta peralatan yang lain dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

"Nilai rampasan kali ini dianggarkan berjumlah RM 3,150 iaitu RM 90 per set bubu naga," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Sharenliza berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11 (3) (b) Akta Perikanan 1985 kerana memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan.

Ujarnya lagi, penggunaan bubu naga bukan sahaja menyalahi undang-undang, bahkan menjejaskan ekosistem laut dan sumber pendapatan nelayan tradisional pesisir pantai.

Nelayan diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan sebarang salah laku jenayah atau kecemasan boleh laporkan kepada Maritim Malaysia di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05- 7279919).