KAMPAR - Isu-isu kesihatan melibatkan masyarakat Orang Asli sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan selaras dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Ia memberi tumpuan pada beberapa faktor seperti Inisiatif amalan cara hidup sihat, kesihatan persekitaran, liputan kesihatan sejagat, serta penjagaan kesihatan kendiri dan saringan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, justeru pelaksanaan tinjauan kesihatan yang mensasarkan kepada masyarakat Orang Asli membuktikan iltizam Kementerian Kesihatan (KKM) bagi maksud tersebut.

Menurut beliau, ini demi memastikan semua penduduk di Malaysia mencapai status kesihatan yang optima dan tiada sesiapa pun yang tertinggal termasuklah masyarakat Orang
Asli.

"Walaupun banyak program kesihatan telah dilaksanakan oleh pelbagai agensi termasuklah KKM bagi meningkatkan tahap kesihatan serta pemakanan Orang Asli, pihak kementerian tiada maklumat status kesihatan kaum Negrito di pedalaman berbanding kaum Negrito di pinggiran.

"Maka tinjauan kesihatan Orang Asli ini adalah bertepatan dengan inisiatif yang dijalankan di seluruh Malaysia. Sesungguhnya, pihak kerajaan sentiasa prihatin serta mengambil berat situasi kehidupan rakyat dalam semua aspek," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Tinjauan Kesihatan Orang Asli di Dewan Komuniti Kampung Sahom hari ini.

Tinjauan kesihatan ini akan menemuramah lebih 20,000 responden Orang Asli dari 71 perkampungan yang mewakili tiga kaum utama iaitu Senoi, Melayu Proto dan Negrito dari pedalaman, pinggiran serta kawasan bandar.

Data tinjauan ini dapat memberikan gambaran sebenar status kesihatan Orang Asli dari pelbagai kaum dan lokaliti.

Masyarakat Orang Asli mewakili 0.6 peratus daripada keseluruhan penduduk di Malaysia ataupun kira-kira 200,000 orang.

Jelas Khairy Jamaluddin, ketika ini masyarakat Orang Asli mempunyai akses pada semua fasiliti kesihatan KKM di samping perkhidmatan kesihatan khusus seperti hospital bergerak.

Katanya, ia bagi memberikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan di lokaliti perkampungan Orang Asli terutamanya di kawasan pedalaman.

"Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bertanggungjawab atas urusan kebajian masyarakat Orang Asli, manakala, perkhidmatan kesihatan secara khusus telah berpindah dari JAKOA ke KKM bermula 2012.

"Tahniah saya ucapkan kepada Institut Kesihatan Umum (IKU) kerana telah mengambil tanggungjawab memastikan data status kesihatan Orang Asli di Malaysia dapat diperolehi sebagai panduan untuk menambahbaik perkhidmatan kesihatan untuk masyarakat tersebut," ujarnya.