IPOH- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mensasarkan 1.5 juta rakyat berusia 40 tahun ke atas supaya melakukan saringan kesihatan sebelum akhir tahun ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, inisiatif itu dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan saringan kesihatan berkala disamping meningkatkan penyertaan golongan sasaran.

“KKM memerlukan penglibatan rakyat Malaysia berusia 40 tahun ke atas yang tidak pernah melakukan saringan kesihatan atau telah lama tidak menjalani saringan, untuk disaring dari bulan Julai hingga Disember 2022.

“Masih ramai rakyat Malaysia tidak menjalani saringan kesihatan secara tetap dan berkala. Kini dianggarkan 53% rakyat Malaysia dewasa tidak menjalani saringan kesihatan dalam tempoh satu tahun yang lepas.

“Data KKM menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia menghidap Noncommunicable Diseases (NCDs) seperti penyakit hipertensi, darah tinggi, dan penyakit jantung. Kini dianggarkan 1 daripada 5 orang dewasa menghidap diabetes, 3 daripada 10 orang dewasa menghidap hipertensi, dan 4 daripada 10 orang dewasa mempunyai tahap kolesterol tinggi”, katanya dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Jelajah Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perak dan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan, di sini semalam.

Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang diperkenalkan oleh KKM telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 11 November 2021. ANMS merupakan agenda negara dalam usaha menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera. Negeri Perak telah dipilih sebagai negeri pertama melancarkan ANMS di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru.

Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan ini dijayakan dengan kerjasama rakan strategik utama KKM iaitu ProtectHealth Corporation dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurut Khairy, ProtectHealth menawarkan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 atau PeKa B40, manakala PERKESO menyediakan kemudahan saringan kesihatan bagi pencarum yang layak di bawah Program Saringan Kesihatan.

“Program ini akan diadakan di kawasan tumpuan orang ramai seperti di pusat membeli belah bagi memudahkan orang ramai melakukan saringan kesihatan.

“Klinik-klinik swasta yang terlibat dalam program PEKA B40 diminta memperbanyakkan program ‘out reach’ ke kawasan pendalaman bersama klinik bergerak yang disertai oleh anggota kesihatan untuk membuat saringan kesihatan di balai raya, perkarangan masjid ataupun kawasan-kawasan yang mudah dikunjungi orang ramai.

“Keputusan saringan itu akan disimpan dan dikemas kini ke dalam sistem MySejahtera setelah mendapat kebenaran daripada pihak KKM selaras dengan dua ciri baharu MySejatera iaitu rekod kesihatan elektronik dan sijil digital imunisasi kanak-kanak.

“Ini adalah langkah awal KKM bagi platform MySejahtera untuk pendigitalan maklumat kesihatan yang selama ini disimpan secara manual. Kami juga bercadang untuk mendigitalkan pelbagai perkara berhubung dengan kesihatan di masa depan seperti rekod kesihatan, sistem tempahan janji temu kesihatan dan lain-lain lagi”, ujarnya.