SERI ISKANDAR - Perak terus menerima pelaburan luar apabila syarikat pembuat komponen elektrik dan elektronik, XP Power Pte Ltd. memilih untuk membina kilang baharunya di sini.

Pembinaan kilang di kawasan seluas 8.5 hektar di Taman Perindustrian Farmaseutikal Seri Iskandar akan bermula bulan ini dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia melibatkan pelaburan kira-kira RM300 juta bawah anak syarikatnya, XP Power (M) Sdn. Bhd.

Menurut beliau, kehadiran syarikat multinasional itu menunjukkan Perak kekal kompetatif dalam menarik pelaburan asing bagi mengukuhkan proses pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

"Apabila pembinaannya siap kelak, kilang ini akan menawarkan kira-kira 1,200 peluang pekerjaan.

"Fasa pertama projek yang dikenali sebagai Asia III itu bakal menjadikan ia sebagai pelaburan terbesar XP Power di rantau ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap
pada majlis pecah tanah Projek Pembangunan Fasiliti Kilang Elektrik dan Elektronik XP Power di Taman Perindustrian Farmaseutikal, Bandar Seri Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed.

Majlis juga dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Lim Bee Vian; Ketua Pegawai Kewangan XP Power, Oskar Zahn dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak, Izran Abdullah.

Saarani turut menyifatkan jalinan kerjasama tersebut mampu menyediakan peluang yang baik kepada XP Power untuk mendapatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang dilatih di pusat tersebut.