IPOH: Perancangan dan kertas kerja sedang diatur bagi membolehkan Lembah Lenggong menepati kriteria yang ditetapkan untuk mendapat pengiktirafan UNESCO Global Geopark.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan, pihaknya optimis pengiktirafan itu akan diperoleh pada awal tahun 2024.

"Kita baru sahaja mendapat pengiktirafan kebangsaan pada Disember 2021 dan oleh kerana di Lenggong ada banyak ciri-ciri yang bertaraf antarabangsa dan menepati kriteria yang dikehendaki.

"Maka jawatankuasa Geopark Kebangsaan beri inisiatif untuk kita melangkah lebih jauh, dan untuk itu tentu saja jawatankuasa ini akan menyediakan kertas cadangan terbaik.

"Selain itu berbincang dengan kerajaan negeri untuk kita merangka pelan bagi membolehkan Lenggong diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark ketiga, selepas Langkawi dan Kinabalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengulas mengenai perkembangan status permohonan Lembah Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark.

Shamsul Anuar ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran 48-12 Hour Ironbound Adventure 1 National Series Lenggong 2022, di sini pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Geokomuniti Lenggong Geopark berkata, perancangan sudah dibuat bagi merealisasikan hasrat itu akan terlaksana tidak lama lagi.

Sebelum ini media melaporkan, Lenggong mampu ke hadapan dalam pelbagai sektor susulan pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan yang baharu selain memberi impak besar kepada penduduk dan negeri Perak.

Shamsul Anuar berkata, dalam usaha itu pembangunan Lenggong mesti dilakukan supaya ia diangkat sebagai Lenggong Global Geopark pada 2023.