Perak kibar bendera separuh tiang
- Details
- Sheqal Danish
- Dalam Negeri
- Hits: 677
IPOH - Bendera Perak akan dikibarkan separuh tiang tiga hari bermula esok hingga Isnin depan sebagai menghormati kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah telah berkenan supaya bendera negeri dikibar separuh tiang bagi menzahirkan rasa dukacita baginda di atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dalam satu kenyataan memaklumkan perkara tersebut hari ini.
“Selain itu, atas hubungan baik Ratu Elizabeth II dengan istana dan kerajaan negeri, maka kibaran bendera separuh tiang akan dilaksanakan selama tiga hari sehingga sehingga selesai istiadat permakaman Ratu Elizabeth II pada hari Isnin,” menurut kenyataan itu hari ini.
Ratu Elizabeth II paling lama menduduki takhta mangkat pada usia 96 tahun itu.
Jasad baginda kini berada di London dan ditempatkan Westminster Hall sehingga istiadat pemakaman negara diadakan.
Baginda ialah raja kedua paling lama menduduki takhta dalam sejarah Eropah selepas Raja Perancis Louis XIV.
Di George Town, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersetuju supaya bendera negeri Pulau Pinang dikibarkan separuh tiang pada Isnin ini.
Ia sebagai menghormati kemangkatan dan hari pemakaman Ratu Elizabeth II.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Pulau Pinang, Datuk Mohd. Zakuan Zakaria berkata, penghormatan tersebut juga sebagai menghormati kemangkatan baginda dan merupakan pemerintah monarki yang paling lama di United Kingdom
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, turut berkenan supaya bendera negeri dikibar separuh tiang sebagai menghormati kemangkatan Ratu Elizabeth II pada 9 September lalu.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim, dalam satu kenyataan memaklumkan, bendera Selangor akan dikibarkan separuh tiang tiga hari bermula Sabtu ini.
Minggu lalu, Pahang mengibarkan bendera separuh tiang sebagai tanda penghormatan atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, keputusan itu seperti mana dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.