IPOH: Sistem e-Penghulu yang dicipta oleh Pejabat Penghulu Besar Negeri Perak, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Inovasi Menteri Besar (AIMB) tahun ini, sekali gus meraih wang tunai berjumlah RM50,000.

AIMB merupakan anugerah utama yang diberikan kepada pemenang sempena sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2022.

Lebih istimewa, sejak AIMB dipertandingkan pada 2012, kali terakhir kategori ini dimenangi ialah pada tahun 2015, oleh Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah, Ipoh.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, penganjuran sambutan Hari Inovasi ini adalah sebagai tanda penghargaan atas usaha berterusan penjawat awam untuk memperkasa sistem penyampaian kerajaan.

Beliau berkata, banyak negara berlumba-lumba untuk sedaya upaya menyerap budaya inovasi dalam sistem penyampaian kerajaan.

Ia bagi mendepani budaya dan pemikiran serta gaya hidup masyarakat yang sedang dipacu laju oleh ledakan teknologi.

"Kegagalan menyerap budaya inovasi akan menyebabkan jentera pentadbiran kerajaan mudah terperangkap dalam pendekatan lapuk dan ketinggalan.

"Kita sebagai penjawat awam perlu sentiasa peka kepada persekitaran sama ada dalam lingkungan kehidupan masyarakat atau secara global, bagi mewujudkan ekosistem serta memupuk budaya inovasi yang lebih baik," katanya.

Saarani berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2022, di sini semalam.

Katanya, kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Menteri Besar (MB Incorporated) di atas sumbangan tambahan RM30,000, yang menjadikan jumlah wang tunai dibawa pulang oleh pemenang AIMB sebanyak RM50,000.

AIMB dinilai oleh beberapa panel berdasarkan berdasarkan lawatan tapak projek inovasi.

Hasil penilaian telah disyorkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Inovasi Menteri Besar.

Pemilihan akhir dilaksanakan oleh Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Inovasi Menteri Besar Tahun 2022.

Sistem e-Penghulu merupakan satu sistem yang kini diguna pakai oleh semua Pejabat Penghulu Mukim di Perak, khusus memberi perkhidmatan kepada rakyat dalam pelbagai jenis urusan.

Sistem ini dibangunkan pada tahun 2019 dan berfungsi membantu Pejabat Penghulu menyimpan dan merekod data kehadiran serta urusan pelanggan dengan memasukkan kad pengenalan yang dibaca menerusi smart card reader.

Pejabat Penghulu tidak lagi perlu menggunakan borang serta menulis secara manual, sistem ini menjana dokumentasi format yang standard bagi semua dokumen diperlukan pelanggan di seluruh Perak.

Dalam majlis tersebut, Saarani turut menyampaikan anugerah bagi lima kategori Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu dan enam kategori Anugerah Inovasi Negeri Perak.