Gopeng- Hutan merupakan khazanah negara terpenting dalam menjamin kestabilan ekosistem dan amat berkait rapat dengan pembangunan sosio-ekonomi negara dan perlu diuruskan secara berkekalan.

Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan, Dato’Seri Saarani Bin Mohamad berkata  sehingga September tahun ini, sejumlah 1.37 juta pokok berjaya ditanam dengan keluasan 5,026 hektar di seluruh Negeri Perak.

“Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan merealisasikan agenda Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilancarkan pada 5 Januari 2021. 

“Program ini amat bertepatan dengan komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam menggerakkan Inisiatif Menangani Perubahan Iklim, malah selari dengan agenda yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030.

“Perak mensasarkan penanaman 10 juta pokok atau 2 juta pokok setahun di seluruh negeri sepanjang 5 tahun bermula pada tahun 2021. Pada tahun 2021, kita telah mencapai sasaran menanam dua 2 juta pokok dengan keluasan 5,568.01 hektar di seluruh negeri,” katanya dalam ucapannya sempena Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa  Peringkat Negeri Perak 2022, The Treasure@Taman Herba, Gopeng, di sini hari ini.

Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2022 itu telah disempurnakan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan anak pokok kepada Pengawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik dan Pengarah Urusan The Treasure@Taman Herba Gopeng, Eidia Erriany Abdul Rahim.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara Salim juga turut berkenan menyempurnakan penanaman pokok dan lawatan ke pameran-pameran.

Menurut Dato’Seri Saarani,  Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah mengklasifikasikan sejumlah 485,613 hektar daripada kawasan Hutan Simpanan Kekal sebagai Hutan Perlindungan dan 295,400 hektar daripadanya adalah sebagai Hutan Tadahan Air.

”Dengan adanya fungsi kelas hutan perlindungan, maka ia mengukuhkan lagi jumlah kawasan berhutan di Negeri Perak yang terus dipelihara dan dilindungi.

“Kerajaan Negeri juga memberi komitmen dalam pengurusan biodiversiti iaitu seperti penubuhan kawasan koridor ekologi Central Forest Spine (CFS). 

“Kepentingan CFS ini adalah bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar yang disebabkan fragmentasi hutan dan laluan semulajadi hidupan liar yang terhalang dengan projek pembangunan,” ujarnya.