Ipoh- Bandaraya Ipoh kini menjadi tumpuan dunia sempena kejohanan badminton bertaraf dunia yang sedang berlangsung di Arena Badminton, Ipoh bermula 8 hingga 13 November 2022.

Presiden Perak BA, Dato' Samsudin Hashim berkata kejohanan Petronas Malaysia International Series (PMIS) bakal menyaksikan saingan sengit lebih 400 orang pemain badminton remaja dunia dari 23 buah negara seluruh dunia.

“Kejohan ini merupakan siri pertama selepas dua tahun lebih dunia diancam pandemik Covid-19. Terima kasih kepada pihak penganjur utama iaitu Petronas serta lain-lain yang terlibat khususnya Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin membenarkan Arena Badminton digunakan sebagai medan pertarungan pada kejohanan berprestij ini.

“Selain memberi lebih pendedahan ia juga membuka kesempatan untuk para pemain mengumpulkan mata bagi pengiraan ranking dunia tahun hadapan.

“Penyertaan deligasi dari China, India, Indonesia serta negara-negara besar yang lain pada kejohanan ini telah menunjukkan satu kejayaan yang besar dan bermakna sewaktu era endemik ini,” katanya kepada Peraktastic sewaktu ditemubual di Arena Bandminton, Ipoh di sini hari ini.

Kejohanan ini terbahagi kepada lima kategori iaitu lelaki perseorangan, wanita perseorangan, beregu wanita, beregu lelaki dan beregu campuran.

Hadiah keseluruhan yang ditaja oleh Petronas ini merupakan wang tunai sejumlah RM170,000.00.

Hadir sama Setiausaha Kehormat, Perak BA, Mohamed Zambri Bahari.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Persatuan Badminton Negara (BAM), Rext Mainaky berkata beliau menaruh harapan besar kepada pemain-pemain Malaysia khususnya bagi kategori beregu.

“Pastinya, seluruh peminat sukan badminton tanahair menaruh harapan kepada pemain Malaysia terutamanya beregu lelaki iaitu Junaidio Arif dan Muhammad Haikal yang mara ke suku akhir menentang pasangan dari negara China iaitu Chen Bo Yang dan Liu Yi hari ini.

“Kejohanan ini, seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh peserta Malaysia kerana ia melibatkan 80 peratus para pemain yang hadir terdiri daripada kejohanan remaja dunia. Inilah peluang untuk menambah pengalaman disamping mengumpul mata peribadi,” ujarnya yang berganding bahu dengan bekas pemain negara Datuk Mohmed Misbun Sidek juga sebagai Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara.

Warga Bandaraya Ipoh yang ingin menyaksikan perlawan ini bolehlah mendapatkan tiket berjumlah RM3.00 dan RM5.00 di pintu masuk Arena Bandminton, Ipoh. - PERAKTASTIC-